BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 7, 2009

Bab 4

" Ma, Elise pergi dulu ye?," kata Elise sambil mencapai beg kecilnya dan sehelai jaket yang tergantung di penyangkut. Dia menyarungkan jaket itu ke tubuhnya sebelum keluar dari rumahnya. Kemudian, dia masuk ke dalam kereta miliknya lalu menghidupkan enjinnya. Destinasinya pagi itu adalah seperti biasa, ke rumah Alex. Sejurus kemudian, keretanya telah pun berada di atas jalan raya. Pagi itu, jalan raya kurang sibuk. Perjalanan dari rumahnya ke rumah Alex hanya kira-kira 20 minit, iaitu lebih kurang 15 kilometer.
Elise menghentikan keretanya di hadapan rumah Alex. Dia turun dari kereta itu dan mengunci kereta itu. Kemudian, dia berjalan masuk ke dalam pagar rumah Alex dan seperti biasa menunggu sehingga Jessica membuka pintu setelah dia menekan loceng rumah itu dari luar.
Beberapa minit kemudian, pintu dibuka. Tetapi kali ini, papa Richard yang membuka pintu itu.
" Oh, Elise.. Come in..," kata papa Richard sambil tersenyum. Seluruh ahli keluarga Alex memang jenis yang peramah. Elise melangkah masuk ke dalam rumah itu.
" Hai Elise.. lama tak datang," sapa mama Patricia pula sebaik Elise masuk ke rumah itu.
" Ish mama ni, Elise baru dua hari je tak datanglah," kata Elise cuba membetulkan perkataan 'lama' yang disebut mama Patricia sebentar tadi. Mama Patricia hanya tersenyum.
" Dia rindukan kamu la tu Elise," kata papa Richard pula. Elise tersenyum mendengar kata-kata papa Richard itu.
" Papa, ada apa-apa berita tak pasal Alex?," Elise mula bertanya.
" Belum lagi kak," Jessica yang entah muncul dari mana tiba-tiba datang menjawab soalan itu sebelum sempat papa Richard menjawab. Wajah Elise muram semula.
" Berdoa je la Elise. Dia akan pulang, papa yakin," kata papa Richard cuba menyedapkan hati Elise.
" Mama, Elise nak masuk bilik Alex kejap boleh tak?," tanya Elise. Mama Patricia tersenyum sambil memandang ke arah Elise. " Pergilah sweetie.. Jess, bawa kak Elise ke bilik abang," kata mama Patricia.
" Err.. tak pe, saya dah tahu mana bilik dia," kata Elise sambil berdiri dan berjalan menuju ke arah tangga untuk ke tingkat atas rumah itu. Sebaik berada di tingkat atas, dia berjalan menuju ke arah bilik Alex. Tombol pintu dipulas, bilik itu kelihatan gelap. Lalu dia membuka lampu bilik itu dan masuk ke dalamnya.
" Kali ni, dah dua kali kak Elise minta untuk masuk ke bilik abang.. pelik juga," kata Jessica perlahan.
" Tak ada apa-apa yang peliklah sayang, mungkin dia nak lepaskan rindu dia pada Alex," kata mama Patricia.

Elise berjalan menuju ke arah katil Alex. Kali ini sudah dua kali dia berada di situ, dan dia yakin bahawa masih ada petunjuk lain yang boleh dia peroleh di bilik itu. Dia mula menyelongkar seluruh laci dan almari di bilik itu. Setelah hampir sepuluh minit berlalu, masih tiada apa-apa yang ditemuinya. Dia duduk untuk seketika di atas katil bagi melepaskan penat. Tiba-tiba dia terasa seperti duduk di atas sesuatu yang keras. Dia segera bangun semula dan melihat apa yang berada di bawah cadar katil itu.
Kelihatan sebuah buku kecil berkulit hitam berada di situ. Bentuknya kelihatan seperti sebuah jurnal. " Jurnal Alex ke ni?," tanya Elise sendiri sambil mengambil buku itu dan mula membeleknya. Pada kulit buku itu, kelihatan nama Alex Joshua tertera jelas. Kemudian, dia membelek helaian yang pertama.
" 5 Januari.. Hari ini, aku telah temui sesuatu yang agak misteri.. Aku masih membaca manuskrip purba ini, dan manuskrip ini benar-benar.......," belum sempat dia habis membaca apa yang tertulis, tiba-tiba dia terdengar tombol bilik itu dipulas. Dengan pantas dia menutup buku itu dan menyebunyikannya di dalam saku jaketnya itu.
" Elise, jomlah sarapan sekali. Mama ada bakar roti sikit kat bawah tu," kata mama Patricia sebaik pintu bilik dibuka.
" Oh, ye la.. Saya akan turun kejap lagi," kata Elise sambil tersenyum. Lalu mama Patricia pun menutup pintu itu semula dan turun ke bawah. Elise mengemas semula keadaan katil itu dan turun mengekori mama Patricia.

Elise keluar dari bilik air dengan kepalanya dibungkus dengan tuala. Segar rasanya selepas mandi. Dia membuka televisyen di dalam biliknya itu, cuba menekan remote untuk mencari rancangan televisyen yang menarik. Namun, tiada satu pun rancangan yang menarik malam itu. Dia menutup televisyen itu dan merebahkan badannya ke katil. Dia cuba menutup matanya, namun tiba-tiba dia membuka semula matanya apabila teringatkan sesuatu. Dia segera bangun dan mengambil jaket yang dipakainya pagi tadi. Dia mengeluarkan buku berkulit hitam milik Alex yang ditemuinya pagi tadi dan kembali duduk di katil.
" Hmm.. let see, apa yang boleh aku temui dalam jurnal ni," kata Elise sendiri. Dia mula membelek-belek helaian jurnal itu dan menyambung semula bacaannya yang terhenti pagi tadi.
" ..... menarik perhatianku.. Aku perlu habiskan membaca manuskrip ni secepat mungkin.. Aku yakin, ada sesuatu yang penting terkandung dalam kisah yang diceritakan dalam manuskrip ini," Elise menghabiskan ayat yang ditulis pada muka surat itu.
" Manuskrip? Manuskrip apa yang dimaksudkan oleh Alex ni?," Elise tertanya-tanya sendiri. Kemudian, dia membelek helaian yang seterusnya.
" 15 Januari... Akhirnya, aku berjaya menghabiskan manuskrip lama ini.. Aku faham sekarang apa rahsia yang terkandung dalam manuskrip ini.. Aku perlu segera mencari kunci tu sebelum orang lain menemuinya," Elise mula teringat semula perjumpaannya dengan Alex suatu ketika dulu.

Elise memeluk tubuhnya menahan marah. Alex datang sambil tersenyum dan duduk di kerusi bertentangan dengan Elise. " Hai sayang, sorry la I lewat sikit," kata Alex. Elise memandang Alex tajam.
" Sikit you cakap? You tahu tak dah berapa lama I tunggu you kat sini.. Dah hampir sejam!," marah Elise.
" Ala, sorry la sayang. I tak perasan yang I dah lewat tadi. Banyak kerja nak kena buat," kata Alex. Elise masih lagi masam mencuka. Alex tersenyum melihat wajah Elise yang marah itu, cute! Dia menarik tangan Elise. " Sayang, jangan la macam ni. I janji takkan biarkan you tunggu lagi lain kali. Ala, senyum la sikit. Marah, marah ni cepat tua tau..," kata Alex.
Elise tersenyum nipis. " Erm.. ye la tu..," kata Elise. Mereka kembali mesra selepas itu, masing-masing berbual rancak sambil ketawa.
" Elise you tahu tak, I sekarang dah tahu apa rahsia relik yang I pernah cakap hari tu," kata Alex.
" Relik? Apa tu?," tanya Elise.
" Relik tu sama macam artifak la.. Nanti I akan cari kunci seperti yang diceritakan," kata Alex. Elise hanya mengangguk-anggukkan kepalanya walaupun dia sendiri kurang faham apa yang dikatakan oleh Alex itu. Dia mendengar apa yang diceritakan oleh Alex itu acuh tak acuh kerana dia kurang suka apabila Alex mula bercerita tentang kerjanya.

0 comments: